Monday, 16 July 2012

Jauh Disudut Tak Mahu


"Maafkan aku kerna tak mampu untuk jadi yang kau mahu, kerana tulang yang berdiri ini adalah aku seperti yang bukan kau mahu..."


Pernah aku berhabis air mata untuk aku sampaikan hati aku pada kau bahwa aku sedang menagih kasih yang semakin hari semakin hilang. Tapi waktu itu, kau hanya sapu air mata aku dengan satu soalan; Kenapa menangis?

Tidak seperti dulu saat aku berada dalam kondisi bagaimanapun, saat tersulit hebat manapun, terkadang kau umpama orang paling pintar dalam menyelesaikan apapun. Tapi kali ini, sudah tidak ada lagi. Aku terdampar ditepi sambil hari-hari aku terus menanti untuk kau terus tanya: kenapa? kenapa? kenapa? - saat wajah aku tak mampu zahirkan tawa dan senyum paling ikhlas.

Tak apa, aku cuba untuk jadi seperti biasa semata untuk aku tidak mahu beratkan fikiran atau keadaan kita. Kerna aku juga tahu, selain jalan liku kita, ada banyak lagi yang kau harus fikirkan. Hingga disatu saat, aku rasa kalah dengan rasa sendiri. Bagaimana lagi untuk aku zahirkan senyum paling ikhlas kalau hari-hari aku punyai rasa terpendam yang aku sendiri sukar untuk lafaz kan?

Duduk dimeja makan sambil memesan makanan tapi hati masih lagi bertanya sendiri; kenapa sekarang kau sudah berubah? atau kasih aku ini sekarang yang kurang hingga menjadikan kita ini semakin renggang dan hubungan ini tak bernyawa?

Cuma dalam setiap konflik kita, aku terkadang marah dengan diri sendiri kerana ego yang ada ini sukar untuk aku buang. Dan itu adalah jihad paling besar untuk aku tinggalkan. Kerna sifat egois ini terlalu sakit kerna ia dilihat tidak adil kepada kau.

Saban hari aku cuba bangun untuk jadi seorang yang lupa akan semalam. Tapi aku gagal. Dan setiap kali aku bangun dari tidur, perkara yang pertama aku lihat adalah talifon bimbit. Apabila aku tak dapat pesanan dari kau, satu hari aku mendung. Tapi kau tak tahu itu. Kerna, bukan itu yang aku pernah janji kepada kau dulu dimana dihari pertama aku lafaz mahu, aku berjanji untuk kebahagiaan kau.

Tentang lafaz cinta, semua bahagiakan? tanpa sedikit pun kita memikirkan sebaliknya. Bagaimana hidup ini kalau aku dan kau terpaksa berpisah untuk buat haluan masing-masing. Tidak pernah. Tidak pernah kita membahaskan itu. oleh kerana sifat kita berat sebelah, maka sekarang adalah pembelajaran baru bagaimana untuk aku berjalan sendirian.

Jujur susah. Selepas jiwa aku terkorban mati, perkara paling payah dalam hidup aku adalah menghiburkan diri sendiri. Tidak lagi kau. Selepas aku sudah tidak lagi berada didalam hati kau, tempat aku diganti dengan orang lain. Malah, kau mampu nikmati bahagia hingga terlalu cepat kau gantikan tempat aku.

Itu adalah perihal yang amat membahagiakan aku sekarang. Jujur. Kerna itu memperlihatkan bahwa cinta aku pada kau rupanya tidak sehebat yang aku sangka. Kerna bagi aku, aku telah cuba untuk jadi orang yang paling tulus untuk kau. Tapi rupanya tidak. Setulus mana pun cinta yang aku laburkan, kesetian mana pun aku letakkan dalam relationship kita, tidak pernah ada makna. Puas aku sakitkan diri sendiri untuk aku kata: padan muka. Tapi, ia tak pernah ada makna.

Hingga disatu saat aku belajar sendiri apa itu positif, apa itu hikmah, dan apa itu dugaan hidup. Kerna saat aku terjatuh dulu, tidak ada seorang pun yang hadir hulur tangga untuk kata; hey! bangun! Tidak! Malah, saat aku terjatuh semua teman-teman sekeliling aku lari untuk tinggal aku sama seperti kau.

Dengan keterpaksaan aku terpaksa mengadap ruang gambar kita untuk aku hapus satu persatu dalam setiap yang terakam untuk aku kata dalam hati; dia sudah jadi milik orang. Untuk apa? Untuk apa lagi disimpan?

maka; yang terwujud indah belaka dulu, aku simpan sebagai kenangan paling indah dimana aku pernah berada. Dan aku ingin sekali kata Terima Kasih untuk setiap yang terjadi ini. Kerna aku mungkin tidak akan menemukan kesempurnaan hidup tanpa kejadian yang menimpa ini.

Aku kirim doa lima waktu dengan nama panjang kau untuk kau terus bahagia dalam langkah hidup kau, dengan pengganti aku, dengan hidup yang bakal kau corak. Maafkan aku kerna tak mampu untuk jadi yang kau mahu, kerana tulang yang berdiri ini adalah aku seperti yang bukan kau mahu.


3: 25 pagi,
8 April 2012.

No comments:

Post a Comment