Monday, 16 July 2012

Cerita tentang hidup untuk kita memberi dan menerima.


Sudah sampai waktu untuk kau bangun dengan dua belah kaki. Sudah tibanya waktu untuk kau kata; kebalkan hati.

Aku tahu, payah. Tapi kalau kau cuba hingga tak terkecualikan hari, mintak doa hari-hari pada Tuhan, terkadang rencana yang dia bagi, boleh diubah-ubah. Tuhan juga ada rasa kasihan, apalagi kau-- Makhluknya.

Duduk diam, pejam mata. Fikir dalam-dalam jangan lagi ditanya; kenapa? Kerna hidup ini tidak pernah terjawabkan soalan 'kenapa' yang ikhlas ditanyakan oleh hati sendiri. Kerna hidup ini adalah perjuangan untuk sesuap nasi, takkan pernah berhenti selagi kita tak tutup mata.

Bangun itu rasa tempang sekarang. Kan? Kerana ia dalam kondisi belum bersedia. Terhenjut-henjut, terlalu tiba-tiba. Aku pernah rasa, dan kita pernah juga berada. Beza kita masa, beza kita keadaan.

Sampai masa, luka kering. Tapi untuk didik jiwa untuk jadi kering , bukan seperti lap air yang tertumpah atas meja. Ambil masa. Sudah waktunya kau hanya fikir; diri sendiri. Aku ditahap mana?

Mahu disayang lelaki itu adakah kita sudah siap untuk bersedia jadi terbaik untuk dia? Jadi isteri paling mithali buat dia ?

Mahu diisterikan seorang wanita harus ditanya juga diri sendiri sudah cukup kudrat untuk beri makan dia? Pimpin keluarga dengan bijaksana ?

Jatuh tak disimpulkan jelas kenapa, kita mahu cepat-cepat ini kita kejar siapa? Sudah cukup KASIH yang kita beri pada diri sendiri? Sedangkan sekarang pun sudah tahu SAKIT, ditoreh-toreh lagi jiwa hingga tak cukup darah tunggu orang yang tak pernah sudi?

Sudah cukup kuat kita beri CINTA pada pencipta yang tiap waktu tak terlepas untuk mengucap kalimah pada Tuhan? Adakah kita sudah cukup kenal dan cintai agama?

Soal lelaki, soal perempuan mahu dijodohkan aku ini pada siapa, bukan kerja kita. Itu kerja Tuhan. Berikanlah siapa, bancuhkan cukup gula hingga ada rasa, aku sambut irama untuk menari bersama.

Lelaki dan pempuan yang datang itu bersebab. Siapa pun. Walaupun si penghantar surat atau, si penghantar nasi lemak, semua datang ada tujuan. Kalau tanya lelaki; kenapa kita bertemu? Kalau tanya perempuan; kenapa kau hadir? Itu semua dari Tuhan. Kau hanya perlu ikut rasa.

Cuma sekarang keadaan terlalu baru untuk kita fikir rasional, hingga hilang semua pemikiran Degree dan Master kita. Sebab soal hidup dan cinta ini , lima puluh peratus mempengaruhi kita. Lagi sakit, kita buntu untuk cari bahu siapa? Untuk faham dan mengerti setiap yang kita lalui dan rasa. Tidak semua peduli, tidak semua ambil kisah ini sebagai 'tajuk' cerita mereka bagaimana untuk memahami kita.

Sakit.

Cuba kau bayangkan, bila kau jatuh terlambung dengan ombak menggila dunia, habis tersadai disudut tepi. Kau hulur tangan kiri minta dibangunkan kau dari seorang yang kau anggap istimewa; lelaki atau perempuan-- Tidak ada.

Dihulurkan pula tangan kanan untuk sahabat-sahabat lama yang berjuang teruk hidup bersama dulu, kini sudah senang, hanya datang untuk lihat tangan kau lalu pergi begitu saja.

Dan akhirnya kau tersadai dihujung tepi sambil mohon untuk dikeringkan setiapnya yang basah, luka yang terguris paling pedih dan kau cuba bangun walau 'sakit' seteruk mana sekalipun tanpa ada satu pun yang peduli. Hingga satu ketika, Tuhan hantar kawan-kawan tepi. Umpama diawang-awangan bisik pelan-pelan; kami kan ada.

Yang lihat luka kau sambil ambil kapas sapu darah yang mengalir. Melihat kau kesejukkan menggigil dihulurkan tuala untuk dikeringkan setiap yang basah. Atau mungkin juga dikutipkan kau dari kedudukan paling rendah untuk disikatkan rambut kau dan disapu bedak untuk diwangikan setiap rongga kau lalu diangkat menjadi 'seseorang' paling cantik dan yang paling segak.

Hingga satu saat apabila kau toleh kebelakang tentang PATAH dan JATUH nya orang lain, hati kau cepat basah untuk menangis betapa deritanya mereka melalui perpisahan.

Betapa PATAH nya wanita dicurangi lelaki. Betapa sakitnya ditinggalkan sahabat saat hati kau bisik perlu. kerna kau tahu, dulu kau pernah terhumban teruk hingga ADA yang sudi kutip untuk dimengertikan setiapnya.

Kita tidak boleh rasa betapa sengsaranya orang bila kita sendiri tidak pernah hadap. Kita tidak boleh bangunkan orang yang barai jiwanya, jika kita sendiri tak pernah jatuh.

Ini soal hidup, soal beri dan menerima. Percayalah, semua pun kita hadap benda sama. Watak dan masa kita yang berbeza-beza. Cuma jangan kecewa terlalu lama. Bangun!

3:04 pagi,
27 Oktober 2011.

No comments:

Post a Comment